CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Tuesday, November 10, 2009

Rezeki...

Setibanya waktu petang setiap selasa,aku akan menemani ibu ke pasar malam. Hajat ke pasar malam untuk membeli bekalan bahan-bahan mentah untuk masakan harian seperti ayam, ikan, sayuran, etc sambil-sambil mencuci mata melihat tudung-tudung dan baju-baju bermacam-macam fesyen. Singgah ke gerai-gerai yang ibu fikirkan perlu dibeli,terlintas di fikiran, mesti ibu sudah fasih dengan setiap gerai-gerai ini.

Menjadi kebiasaan juga untuk aku mengangkat barang-barang belian ibu.Tidakkan ku benarkan satu dipegang ibu,kecuali ibu bertegas untuk membawa.Selagi aku mampu,aku rangkul segala beg-beg plastik yang ada dengan kudrat seorang anak perempuan. Cukuplah ibu bersusah payah demi anak-anak.Walau ini saja yang mampu aku bantu, seboleh-bolehnya aku tidak mahu sebarang beban dan penat ditanggung ibu.

Sambil bergurauan bersama ibu,aku melihat sekeliling.Berjalan sambil-sambil mata mengimbas kelibat orang-orang yang berkunjung ke pasar malam.Berbagai ragam. Mataku tertumpu kepada satu.Pn Fazilah,bekas pensyarahku semasa di asasi.Terdetik di hati mahu menegur.Namun,padangannya menghala ke arah yang bertentangan.Aku serba salah. Tanganku pula sarat dengan beg-beg plastik.Ibu pula jauh berjalan ke hadapan. Maaf puan,bukan rezeki kita untuk bertegur sapa.Berjalan untuk beberapa langkah,mataku tertumpu kepada seorang wanita berbaju kurung,ustazah.Ustazah ini pernah mengajar aku semasa di sekolah agama dahulu.Puas aku memikirkan namanya.Terlintas sekali lagi untuk menegur.Namun,niatku terbantut.Mana mungkin dia mampu mengingatiku.Lagi pun, dia pernah mengajar sekali sahaja,kerana mengganti guru yang tiada.Sekali lagi niat itu terbatal.Berjalan untuk beberapa ketika lagi, aku sedari seorang lelaki yang sedang membetul-betulkan meja gerainya sambil membentang alas meja.Ustaz.Aku terpaku seketika walaupun kakiku masih gagah mengatur langkah.ustaz tak mengajar lagi ke? Berniaga sekarang?Jual apa ye?Timbul persoalan ini di benak fikiranku.Sekali lagi aku gagal mengingati namanya.YaAllah.Teruknya aku.Nama pendidik aku pun boleh lupa.

Terimbas pula kepada ayat yang pernah dilempar oleh ayah seketika dahulu, "Gagal mengingat nama guru sama seperti gagal menjadi pelajar cemerlang".Ya.Itulah kata ayah.Memang menusuk kalbu.Tidak dinafikan,ada beberapa guru yang aku tidak ingat namanya,namun aku tahu dia pernah mengajarku.Maaf,capasiti memoriku nampaknya tidak berapa besar dan berfungsi dengan baik.Begitulah setiap kali aku bertemu dengan pendidikku.Adakalanya bertegur,adanya tidak.Malunya dengan perlakuan itu. Tidak seperti ayahku,ayah seorang yang sangat menghargai guru-gurunya.Pelbagai usaha dilakukan oleh ayah sebagai tanda jutaan terima kasih buat semua pendidiknya.Aku kagum dengan ayah.

Sekembalinya fikiranku ke bingitan pasar malam ini,aku memerhati setiap gerai-gerai yang ada.Satu gerai mengalih pandanganku,lantas terdetik.Seorang pakcik dalam lingkungan 50-an,kelihat sedang menyusun barangan niaganya.Dia mejual cermin mata,berbagai jenis : cermin mata hitam pelbagai stail, cermin mata untuk rabun etc. Berapakah profit yang diperoleh pakcik ini untuk satu hari? Mampukah itu menanggung anak isteri? Menanggung isteri dan anak sahajakah?Mungkinkah pakcik ini juga ada menanggung sanak saudaranya?.Kala itu,aku memanjatkan setinggi kesyukuran,kerana hidupku sederhana.Alhamdulillah,ayah telah membesarkan aku dalam keadaan lengkap. Walau tidak bersuap sudu bertahktah berlian dan emas mahupun perak,namun aku membesar dengan penuh suapan kasih sayang ibu dan ayah.Ibu dan ayah sentiasa berada disamping aku ketika aku dibesarkan. Ayah bekerja keras mencari rezeki untuk kami anak beranak.

YaAllah,semoga engkau murahkan rezeki pakcik ini,agar dia boleh serta mampu menyara diri dan keluarganya.Agar dia mampu melihat anak-anaknya membesar dengan cemerlang.Amin Ya Rabbal'alamin.

Selalunya,di dalam hanyutan tubuh-tubuh di pasar malam ini,akan ada kelibat orang-orang yang kurang berkemampuan,meminta belas kasihan ; sedekah daripada yang lain.Namun, hari ini tiada kelibat mereka.Mungkin kerana hujan telah membataskan rezeki mereka.Tidak.Hujan itu hikmah. Pasti mereka bisa mendapat rezeki lebih daripada Allah.InsyaAllah.Amin.

Masa tidak mengizinkan.Kami harus segera bergerak ke kereta,untuk mengambil adikku dari sekolahnya.Semoga Allah merahmati semua peniaga-peniaga di sini dengan rezeki yang halal.Amin.

0 comments: