CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Friday, July 30, 2010

Warkah buat Bonda (4)

Di Hatiku

Bonda...
kau idolaku
yang hadir dihati
takkan pernah aku lupakan
memori paling bahagia kepunyaanku

Bonda...
seksanya menanggung
deria yang lara
9bulan kau menjaga
dalam kandungan kuterpelihara
saat lahirnya diriku ke dunia
di iqamat ke telinga oleh merdunya suara bapa
siang malam bersengkang mata
menjaga diriku hingga dewasa

Bonda...
Ucapan jutaan terima kasih
kuhulurkan kepadamu
yang sanggup berkorban
demi masa depanku
jasamu yang tak terhingga nilainya
segala nasihat tertanam di hati

Bonda...
keayuan wajahmu masih dalam ingatanku
masih aku mencari kelibatmu disini
walau aku sedar kau takkan kembali
ilusi palsu di sebalik bayangan
kala kangen menikam kalbu
kerana rindu mengisi hati yang dingin
menyunting rindu di sebalik kenangan

Bonda...
kaulah idolaku
kau jugalah impianku
kau segalanya bagiku
cintaku untukmu selamanya
takkan pudar walau satu zarah

Bonda...
kupanjatkan doa buatmu
semoga dikau tenang bersemadi
jua menanti kedatanganku
pergi bertemu Ilahi
apabila tiba masa yang tidak tentu
nantikan anakmu ini bonda
sayangku padamu berpanjangan.

Wednesday, July 28, 2010

Warkah buat Bonda (3)

Ibu


Ibu,
kaulah ratu dihatiku
tiada bandingan
di antara wanita
yang telah kutemui
selama ini

Ibu,
kaulah penawar
apabila aku terlupa
dan kaulah
permata yang berharga
bagi diriku

Sekian ini
kau menjagaku
menatang kasih beralas sayang
kau didik diriku
sehingga aku di kala ini

Ibu,
dikala aku kesedihan
dikau pendengar setia
dikala aku keriangan
dikau tersenyum bahagia
dikala aku kelesuan
dikau pengubat jiwa
dikaulah segalanya

Ibu,
kudusnya doa rayumu
yang tak jemu menadah restu Ilahi
kentalnya jiwamu menempuh liku
segala kepenatan tersirat dihati
mengalir di segenap sendi
namun dikau masih mampu mengukir
senyuman yang lunak

Ibu,
jasamu kujunjung
baktimu kusanjung
hanya ibulah kekasihku
hilangmu tiada penganti
sampai bila-bila




Kasih ibu sepanjang masa.



Warkah buat Bonda (2)

Kutitip Puisi Buatmu Ibu.

Ibu,
kaulah insan pertama yang aku kenali
mengasuh dan mendidikku
dari kecil hingga kini
mengajarku erti kasih,sayang, dan cinta
kepadaNya yang Esa

Ibu,
pahit manis kehidupan telah kau rasakan
namun,dirimu tidak pernah merasa jemu
kau hadiahkan aku sebuah kebahagian
sehingga kau lontar semua derita
jauh di sudut hatimu
kuntum senyuman tak lekang di bibirmu
kerana dirimu tahu anaklah
penyeri kehidupan

Ibu,
kupohonkan restu darimu
Agar hidup ini diberkatiNya selalu
kucupanmu menggegar fuadku
Harum wangian salammu untukku
Agar diri ini berjaya kelak

Ibu,
tabahnya dirimu mengharungi dunia ini,
setabah hati Fatimah Azzahara
YaAllah, kau tabahkanlah hatiku
sebagaimana kau tabahkan hati ibuku
kau kasihilah dirinya sebagaimana
dia mengasihiku sejak kecil lagi

Ibu,
melalui puisi ini ingin aku titipkan
maafkanlah daku
kerana lidah ini sering tergigit
mintaku berlebihan,rajukku berpanjangan
namun hakikatnya
sekali hatimu terguris
sejuta kali hati ini terhimpit

Mok,alya sayang mok.

Tuesday, July 27, 2010

Warkah buat Bonda

Seketika saya di zaman persekolahan,terutama di Seseri, itulah kali pertama dalam hidup saya berjauhan dengan Bonda.Rindu pada bonda dan ayahanda dirumah!Namun hatiku disematkan ketabahan demi menunjukkan contoh bagi adikku yang juga ke SBP suatu ketika dahulu.

Selama dua tahun itu,beberapa kerat sajak telahku coretkan untuk bonda ; sebagai luahan rasa rinduku pada bonda walaupun tiap-tiap hari juga panggilan telefonku diterima bonda sepanjang berada disana.Setiap minggu juga ayahbonda datang menjengukku di sana walaupun Seseri dan rumahku hanya 1jam perjalanan.Hajat dihati mahu menunjukkan hasil-hasil itu semasa tibanya hari graduasiku.Namun,Allah telah aturkan sesuatu beralas hikmah pada kami semua.Bonda pergi tanpa sempat membaca satu huruf hasil nukilanku..
*salah satu titipan buat bonda*

Ratu hatiku...
Senyuman bonda

Bingkisan agung melebihi seorang raja
Redupnya pohonan kasih

Membelai asyik

Buana sekalipun terkesima
Menatap dia
dan hanya dia kerana namanya Bonda

Setitis keringat berbalas secangkir syurga
Menatap raut wajahnya
Tercatat sejuta parut kelesuan

Yang takku mengerti dahulu
Saat roh ditiup ke dalam jasad

Aku redha penuh kesyukuran

Dia adalah Bonda

Saat darahnya mengalir dalam tubuhku

Mengisi ruang di antara zarah kesunyian

Mengajarku erti kehidupan

Memimpinku mendaki tangga berliku

Sebuah cetera pengalaman

Bonda adalah ibu

adalah Ratu......

Alfatihah.
-sayang mok-*suatu yang sering kuucap setiap saja tamat panggilan telefonku dengan bonda*

Saturday, July 17, 2010

Sepi dan Sunyi


Sesungguhnya tiada yang lebih indah melainkan dapat bertemu denganmu.Betapa inginku dakap dirimu.Betapa inginku cium tanganmu.Yang selama ini tidak jemu menadah tangan berdoa untukku.
YaAllah,rahmatilah ibuku.Ampunkan dosa-dosa ibu.

18 Julai ini genaplah sebulan tidak kutemu Bonda,20Julai ini genaplah sebulan Bonda meninggalkan kami menyambut seruan Ilahi.Cepatnya masa berlalu.Segalanya bagaikan sekelip mata.Bonda pergi tanpa sebarang pesanan.

Siapalah diri ini tanpa Bonda?Hidupku keharuan tanpa pimpinanmu.Semangatku untuk mengaji pudar.Rindunya pada marah bebel Bonda menyuruhku menelaah. Rindunya pada suara Bonda di hujung talian telefon. Rindunya untuk bersalaman mencium pipi Bonda.Rindunya masakan Bonda. Rindunya pada belaian Bonda memujuk setiap rajukku. Rindunya pada Bonda hanya Allah yang tahu.

Terkenang akan adik-adik yang masih kecil.Adik Asri.Kecilnya dirinya untuk melalui kondisi baru ini.

YaAllah,tabahkanlah hati adik-adikku.Kuatkanlah semangat diri mereka masing-masing.Lindungilah mereka dari segala kejahatan dan kezaliman.

Namun,diri Bonda seolah-olah masih terasa di sini.Setiap masaku jua terkenang akan Bonda. Tamat kelasku,kakiku kuatur ke kereta menuju ke rumah bersama harapan dapat berjumpa Bonda di rumah walau hakikat sebenarnya Bonda telah tiada.Masuk ke kereta,air mata berguguran.
YaAllah,bagaimanakah hidupku tanpa Bonda......tabahkanlah hatiku demi adik-adik dan ayahku. Tabahkanlah hati-hati mereka juga yaAllah.


Bonda,
Maafkan segala dosa-dosa dan salah silap Alya.Alya sangat-sangat rindu mok.Rindu semuanya mengenai mok.Alya akan sentiasa mendoakan untuk mok pada setiap solat alya dan pada setiap masa.Alya janji jaga adik-adik dan ayoh.I LOVE U SO MUCH!AND I'LL ALWAYS LOVE YOU!





You have blessed my life in so many ways
I will cherish our memories until the end of my days
You left me too soon and this was not part of our plan
But Allah’s wishes always come before those of man
Without you I must travel the path alone
Nevertheless,Allah sent you to me as a special gift
To teach me life’s lessons and shower me with your love
I will always remember your beautiful and smiling face
In my heart you will always have a very special place
A special bond we shared like no other
I thanked Allah for each day we were able to share
For Mommy Dearest you will always be
As I love you forever to eternity


Monday, July 5, 2010

Ratu Hatiku,Bonda

Al-Fatihah buat Bonda yang amat dicintai.
Pemergian Bonda sungguh mengejutkan.Semuanya berlaku sekelip mata dan tidak diduga sebegini awal.Ya,memang kematian itu pasti. Namun masa bonda bersama kami sungguh singkat.Bonda dijemput pulang ke Rahmatullallah pada umur 55 tahun, masih punya seorang suami,ibu,adik-adik,anak-anak dan cucu-cucu.Semua sayangkan bonda.

Saya sangat rindukan bonda saya,rindu yang amat hanya Allah yang tahu.Bonda adalah segalanya buat saya.Tempat saya mengadu kesedihan,suka duka,kenangan manis pahit, segalanya.Semua cerita saya akan buka pada bonda, baik di kolej,zaman-zaman sekolah, mahupun fantasi masa depan.

Setiap langkahku jua terkenang Bonda.Ke mana saja tempat Bonda pernah bersama saya masih segar dalam ingatan.Kata-kata nasihat Bonda dan gelak tawa Bonda sungguh masih kedengaran.Sepinya tanpa Bonda.Saya sangat rindukan Bonda.

Sepanjang saya bercuti semester,setiap masa saya diluangkan bersama Bonda.Sehari tanpa melihat dan berborak dengan Bonda memang tidak sah.Kebetulan semasa cuti itu,hari jadi kami bertiga disambut bersama-sama tiga ahli keluarga lagi yang kelahiran Bulan Mei.Setiap tahun jua saya menanti bulan April, kerana pada bulan ini Bonda,Ayahanda dan saya akan bertambah
digit umur masing-masing.Sungguh saya berasa bangga kerana hari lahir kami berdekatan.Tahun ini,saya dan adik-adik menghadiahkan Bonda sepasang baju kurung,dan sehelai tali leher pada Ayahanda.Ayahanda memakai tali leher itu pada hari itu juga memandangkan ayahanda akan menghadiri majlis pada malam itu.Namun, Allah tidak mengizinkan Bonda memakai baju dihadiahi kami,Bonda pergi dahulu.Oh,rindunya pada Bonda.

Setiap Selasa pula,akan saya temani Bonda ke pasar malam pada petang hari.Gerai yang kami selalu singgah adalah gerai yg menjual sayuran,buah-buahan dan ayam.Gerai ayam kegemaran Bonda adalah di hujung simpangan di belakang Maybank itu.Tuan gerai selalu memberi Bonda
harga rendah.Bonda pula akan belikan air kegemaran saya,Limau Nipis berasam.Pada minggu terakhir kami bersama ke pasar,Bonda singgah ke setiap gerai air untuk menawarkan saya mana-mana air.Namun,saya menolak.Oh,rindunya pada Bonda.

Pada sebelah pagi setiap hari persekolahan,Bonda akan berada di dapur menyiapkan makan tengahari untuk anak-anak.Saya pula kurang berfungsi apabila Bonda di dapur,kerana saya tidak sehebat Bonda.Bonda tahu setiap makanan kegemaran suami dan anak-anaknya.Ada suatu malam,Bonda membeli mee halus untuk memasak mee sup untuk Ayahanda pada esoknya,namun Allah tidak mengizinkan.Bonda pergi dahulu.Oh,rindunya masakan Bonda.

Bonda bangkit seawal jam 5 pagi untuk menyiapkan adik-adik saya ke sekolah.Dan masuk tidur seawal jam 9 malam setelah satu hari melakukan tugas-tugas seorang isteri dan ibu.Rumah Bonda sentiasa kemas.Sepanjang saya berada di rumah semasa cuti semester,tangan dan kakiku satu pun tidak berfungsi.Semua pun Bonda lakukan.Derhaka sungguh saya.Mesti Bonda keletihan membuat semua kerja.Saya memang anak yang teruk.
Ya Allah,ampunkanlah dosa-dosaku ya rahman ya rahim.

Memandangkan saya anak perempuan terakhir (walaupun masih punyai adik-adik),namun saya amat rapat dengan Bonda dan Ayahanda. Hampir setiap rutin Bonda saya tahu.Hampir setiap pakaian Bonda saya boleh beritahu di mana Bonda membelinya dan berapa harganya.
Sepertinya segala-gala mengenai Bonda saya tahu (well,not everything).Bonda akan selalu menceritakan hal-hal silam dan mengadu hampir semuanya pada saya.Gelak tawa,marah,sedih,gembira semua pun dikongsi bersama.Oh,rindunya pada suara Bonda.

Bonda rebah pada Jumaat petang (18 Jun 2010) di dapur.Dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 20 Jun 2010.Siapa sangka Bonda pergi begitu saja.Kerana tiada tanda Bonda sakit mahupun pening-pening.Bonda sihat-sihat saja sepanjang minggu akhirnya itu. Bahkan pada Khamis (17Jun 2010),kami ke Tabung Haji.Bonda menyatakan hasratnya untuk menunaikan Rukun Islam terakhir itu bersama ayahanda. Semasa
Bonda ke kaunter,Bonda mengajak saya bersama, dengan melemparkan senyuman yang sangat manis.Saya masih duduk di belakang membiarkan Bonda seorang ke kaunter.Senyuman terakhir terukir di raut wajah seorang Ibu.Ya Allah,rindunya saya pada raut senyuman di wajah Bonda.

Pada petang jumaat (18Jun2010),saya bersalaman dengan Bonda,untuk keluar mengambil adik saya di Banting.Semasa itu,bonda duduk berdekatan dengan buai cucunya.Siapa sangka itulah ciuman pipi Bonda terakhir.Bonda berpesan "Drive carefully,Alya".Siapa sangka itulah kalimah-kalimah terakhir Bonda buat saya.Siapa sangka itulah kali terakhir pandangan pada Bonda.
Ya Allah,rindunya pada bonda.

"Mok,saya minta maaf sekiranya ada mengguris hati dan perasaan.Minta maaf untuk segalanya, ampunilah dosa saya..I love u so much!!Saya akan sentiasa doakan untuk mok.Saya janji akan jaga ayoh dan adik-adik.Sayang mok.."



Others:
kaklong
kakngah
abg zidni
kak niza